comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja 16 tahun sebabkan nahas 2 maut dibebaskan dengan jaminan polis

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta milik ibunya dan terbabit kemalangan maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai, di sini, awal pagi semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata sebaik selesai merekodkan keterangan, remaja terbabit kemudian dibebaskan selepas tahanan reman ke atasnya tamat hari ini.

“Melalui siasatan terhadap remaja itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang lesen memandu dan masih bersekolah.

“Ketika kejadian dia yang memandu kereta milik ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mertajam selepas bertemu dengan rakannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, polis juga sedang melengkapkan siasatan termasuk menghantar sampel darah ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian alkohol dan dadah bagi tindakan selanjutnya.

“Polis juga mengeluarkan saman ke atas ibu remaja terbabit kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaannya tanpa lesen,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua individu dipercayai pasangan tunang maut selepas motosikal  mereka  dilanggar kereta yang dipandu remaja lelaki terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kereta dipandu remaja berkenaan melanggar belakang sebuah lori sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang pasangan berkenaan.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Perak  maut di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini