comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Remaja autism antara 427 peserta Pesta Renang Langkawi

Remaja autism, Raziq Rizal (kanan) diiringi jurulatihnya, Faris Mukhis Azmi ceria dan bersemangat selepas berjaya mencatat masa 1 jam 30 saat bagi acara renang kategori terbuka lelaki, 2 kilometer pada Pesta Renang Langkawi hari ini. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Seorang remaja lelaki yang mengalami masalah autism antara 427 peserta menyahut cabaran dalam Pesta Renang Langkawi (PRL) 2024 di Tanjung Rhu di sini, hari ini.

Raziq Rizal, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Jaya, Ipoh menyertai PRL 2024 bagi kategori terbuka lelaki, 2 kilometer (km).

Walaupun tidak berjaya memperoleh kedudukan tiga teratas, keupayaannya memerah kudrat dan mencatat masa 1 jam 30 minit bagi acara itu mendapat tepukan gemuruh kira-kira 300 penonton yang hadir.

Pada acara itu, Raziq yang juga pelatih di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh ditemani jurulatihnya Faris Mukhis Azmi sebagai jurupandu arah bagi memastikan dia berenang mengikut laluan yang ditetapkan penganjur.

Ketika ditemui, anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia gembira dapat menamatkan acara renang sejauh 2km yang turut disertai ratusan peserta berpengalaman daripada pelbagai negara.

“Sejak dua tahun lalu saya berlatih lima kali seminggu di bawah pengawasan jurulatih, Faris Mukhlis, selain pernah menyertai acara renang sejauh 1km di Port Dickson tahun lalu dengan catatan masa 1 jam,” katanya yang turut ditemani ibu bapanya, Siti Norbaya Sharif dan Rizal Mohamad Suhaimi.

Jelas Faris Mukhlis, penyertaannya lebih kepada untuk menunjukkan perenang yang ada masalah autism juga boleh melakukan aktiviti mencabar seperti dilakukan oleh orang normal.

Acara renang berprestij yang dianjurkan oleh Tough Gorilla dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu disertai 427 peserta mewakili 15 negara membabitkan lima kategori utama iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita 8km, 4km, 2km, 1km dan 400m.

Perenang Sepanyol, Jose Luis Larrosa Chorro muncul juara kategori terbuka lelaki 8km selepas mencatat 2 jam 6 minit dan 39 saat, manakala kategori wanita, disandang peserta negara, Kai Ning Teoh dengan catatan 2 jam 19 minit dan 21 saat.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA (Perancangan dan Pembangunan), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini