comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja lelaki parah perut tertusuk buluh

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki cedera parah akibat tertusuk buluh selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang membawa muatan buluh yang parkir ditepi jalan di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Jeli, di atas jambatan Pulau Setelu, di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam mangsa, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara tertusuk buluh sepanjang dua meter di bahagian perutnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan untuk pergi memancing. Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda muatan buluh yang diparkir di tepi jalan.

“Sebatang buluh berukuran dua meter tertikam menembusi perut mangsa. Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan awal dan dihantar ke HSIP untuk rawatan susulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berharap pengguna supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja di laluan jalan raya dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-9710976.

Loading...
Terkini