comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan, wanita tunggang motosikal ala ‘Superman’ serah diri

Tangkap layar video tular

TANJUNG MALIM: Remaja perempuan dan wanita yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi bahaya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River kira-kira jam 9.10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata suspek berumur 18 tahun dan 21 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dikesan melakukan kesalahan terbabit di Kilometer (KM) 375.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Behrang ke Slim River.

Katanya, polis mengesan kedua-dua suspek selepas video mereka melakukan aksi menunggang motosikal secara merbahaya tular di media sosial.

”Siasatan pihak polis mendapati ketika kejadian, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

”Tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, dipercayai kedua-dua suspek melakukan aksi merbahaya dengan meluruskan kaki di belakang (Superman) dan melakukan ‘ zig zag’ di kiri dan kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohd Hasni berkata, perbuatan kedua-dua suspek terbabit telah berjaya dikesan oleh pihak polis serta suspek telah serah diri di IPD Muallim.

”Suspek yang berkerja sebagai operator dan pengasuh bayi turut disaman kerana tidak mempunyai lesen.

“Hasil siasatan selanjutnya juga mendapati suspek mereka yang berasal dari Pulau Indah, Selangor dan Klang, Selangor tidak mempunyai rekod jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis ,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini