comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurugambar berdepan 8 tuduhan amang seksual terhadap remaja perempuan 

Mohamad Zulhusni ketika hadir di Mahkamah Majistret Pasir Mas. – Foto: NSTP

PASIR MAS: Seorang jurugambar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap remaja perempuan antara April hingga Julai tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Zulhusni Sohaimi, 31, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi menerusi aplikasi Telegram dan berjumpa dengan remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian dengan niat untuk melakukan kesalahan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas pada April 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 13 (1) akta sama.

Tiga pertuduhan tertuduh didakwa menggunakan mangsa yang sama dalam penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di siang hari di sebuah rumah di Jalan Rogayah Slow Machang-Pasir Mas, di sini, antara April, Mei dan Julai 2022.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Sementara itu, dalam tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa terbabit dalam penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terhadap mangsa yang sama di lokasi dan masa yang sama.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi yang sama pada Julai tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes berkenaan serius.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Pasir Mas.

Loading...
Terkini