comscore
Tumpuan :
Nasional

Resit pesanan pelanggan hina agama Islam, polis buka kertas siasatan

Gambar tular memaparkan resit pesanan yang diterima menerusi aplikasi rangkaian restoran makanan segera di Sungai Ara, di sini, yang mempunyai perkataan menghina agama Islam. – Foto tular.

BAYAN LEPAS: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan gambar tular di media sosial yang memaparkan resit pesanan pelanggan di sebuah rangkaian restoran piza di Kenari Avenue, di sini, dengan ayat yang menghina agama Islam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata gambar tular itu dikesan dimuatnaik oleh seorang pengguna Akaun X.

“Polis menerima laporan berkaitan kes berkenaan pada jam 8.46 malam tadi.

“Didapati satu pesanan yang diterima pada jam 3.05 petang semalam, menerusi aplikasi rangkaian restoran berkenaan yang mempunyai perkataan menghina agama Islam di bahagian nota pesanan itu.”

“Susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata dia sudah bertemu dengan penyelia cawangan serta pengurus Domino’s Pizza Cawangan Utara berkenaan, semalam, susulan gambar tular itu.

“Ramai salah faham seperti saya juga pada awalnya yang menyangka resit berkenaan dijana oleh cashier (juruwang) rangkaian restoran berkenaan.”

“Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit tempahan (pesanan) secara dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahguna oleh individu yang memprovokasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Kata Azrul Mahathir, difahamkan pihak pengurusan restoran juga sudah membuat laporan polis mengenainya.

“Diharap supaya pihak yang cuba lakukan provokasi 3R (agama, raja dan kaum) ini segera ditangkap dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang sensitif dengan isu ini serta membuat laporan polis.

“Masyarakat juga diharap kekal tenang dan tidak termakan dengan provakasi ini serta serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Terdahulu, gambar tular berkenaan memaparkan resit pesanan daripada individu bernama Moe Aung beralamat di Lintang Sungai Ara yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi warganet dengan sebahagian besar daripada mereka meluahkan rasa kesal kerana kes penghinaan terhadap agama Islam semakin meningkat dan dibimbangi akan menyebabkan hubungan antara kaum tidak harmoni.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini