comscore
Tumpuan :
Nasional

Ribut di Yan jejas lebih 35 buah rumah

Abd Latif Abdullah dan Isteri, Pairus Mehat melihat kerosakan struktur bumbung selepas kejadian hujan ribut lewat petang semalam.

Oleh Kumaran Rajamoney

YAN: Hujan ribut selama lebih 20 minit di beberapa buah kampung di sini petang semalam, mengakibatkan lebih 35 buah rumah terjejas dan mengalami kerosakan.

Tinjauan Buletin TV3 di Kampung Padang mendapati majoriti rumah rosak disebabkan bumbung yang diterbang angin.

Mangsa, Pairus Mehat , 48 berkata ketika kejadian sekitar 5.30 petang itu, dia sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa.

“Tiba-tiba kedengaran bunyi yang agak kuat menyebabkan anak yang berada di ruang hadapan berlari menyelamatkan diri. Sejurus itu, saya dapati sebahagian bumbung rumah mengalami kerosakan struktur.”

“Banyak peralatan elektrik dan perabot rosak terkena air hujan. Jika struktur bumbung ini tidak diperbaiki, saya bimbang lebih banyak kerosakan akan berlaku,” katanya.

Nada sama disuarakan Abdul Rahim Abdullah, 60 yang risau dengan nasibnya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Abdul Rahim Abdullah dan Badariah Bakar menunjukkan keadaan bumbung rumah yang rosak.

“Ini dugaan Ramadan. Selama saya tinggal di rumah ini sejak 60 tahun lalu, inilah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku.”

“Sudah tentu kebimbangan adalah mengenai kos baik pulih yang tinggi. Pendapatan saya sebagai petani tidak memungkinkan saya membaik pulih rumah dalam masa terdekat.”

Justeru, beliau mengharapkan agensi kerajaan dan pihak berwajib dapat membantu membaiki rumahnya itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat berkata pihaknya akan menyegerakan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat.

“Bagi kerosakan yang sedikit, Insyaallah kita akan percepatkan dengan kaedah gotong royong. Jika kerosakan itu besar, kita akan bawa maklumat ke agensi berkaitan dan kerajaan negeri agar bantuan dapat disegerakan.”

“Kita cuba usahakan pembaikan dapat dimulakan dalam minggu hadapan, agar dapat disiapkan menjelang Aidilfitri. Namun, semua ini bergantung kepada perolehan dana serta pembekalan barangan pembaikan,” katanya.

Setakat ini sejumlah 35 buah rumah mengalami kerosakan termasuk di Kampung Nawa dan Kampung Kuan Buang dengan bancian masih diteruskan bagi mengumpul maklumat kerosakan keseluruhan di daerah itu.

Loading...
Terkini