comscore
Tumpuan :
Nasional

RISDA sedia RM74 juta tingkat pendapatan pekebun kecil

Noraini menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz di Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan dana lebih RM74 juta bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil untuk mempelbagai aktiviti ekonomi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata peruntukan itu bagi menangani ketidaktentuan pasaran getah dan penurunan produktiviti,

Katanya, bantuan berkenaan akan memanfaatkan 13,489 orang peserta di seluruh negara.

“Dengan trend harga getah semasa yang kurang memberangsangkan, RISDA sentiasa proaktif bagi memastikan pekebun kecil getah dapat meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai bantuan sokongan.

“Ini termasuk peruntukan RM44.46 juta melalui Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan serta RM30 juta untuk Program Agromakanan.

“Melalui pelbagai bantuan sokongan yang disediakan, kita dapat melihat angka yang positif dalam permohonan tanam semula getah.

“Lebih 12,000 hektar permohonan tanam semula getah diperoleh bagi suku tahun pertama tahun ini daripada sasaran 20,000 hektar yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadan RISDA Negeri Johor 2023 di sini hari ini.

Noraini berkata, 5,900 hektar permohonan tanam semula getah sudah diluluskan.

“Kelulusan itu mengambil kira syarat dan terma yang ditetapkan sama ada melalui permohonan tanam semula atau permohonan tanam baharu tanaman getah,” katanya.

Pada majlis itu, RISDA mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan wang tunai RM23,000 kepada tujuh masjid, dua buah pusat tahfiz, 20 orang pelajar tahfiz serta 30 orang golongan asnaf dan anak yatim.

Loading...
Terkini