comscore
Tumpuan :
Nasional

RM200 juta untuk MOCN tingkatkan rangkaian internet luar bandar – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian SMART 600 MOCN di Kuching hari ini.-Foto: NSTP

KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kewangan memperuntukkan dana berjumlah RM116 juta bagi pelaksanaan inisiatif Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dana itu diperuntukkan bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan inisiatif berkenaan khususnya bagi meningkatkan liputan rangkaian internet di luar bandar.

Menurutnya, syarikat telekomunikasi pula menyumbang RM28 juta setiap tahun bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan inisiatif itu.

“Ini menjadikan umlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan kerajaan persekutuan menerusi SKMM, Kementerian Kewangan dan syarikat telekomunikasi adalah sebanyak RM200 juta. Peruntukan itu bagi memastikan menara SMART 600 (Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak) dilengkapi dengan MOCN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahanan (MoU) SMART 600 MOCN di sini hari ini.

Majlis disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

MoU itu dimeterai syarikat pengendali iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bersama CelcomDigi Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Fahmi berkata MoU itu adalah kemuncak perbincangan pihaknya bersama syarikat telekomunikasi di negara ini.

“Terdapat banyak perbincangan yang dilaksanakan sebelum ini sehingga kita dapat menyaksikan kemuncak usaha kita pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Julaihi yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada majlis itu berkata liputan rangkaian khasnya di kawasan luar bandar negeri ini dijangka bertambah baik menerusi penyediaan MOCN di menara SMART.

Beliau berkata penambahbaikan terhadap rangkaian itu yang memfokuskan kawasan luar bandar adalah penting dalam usaha Sarawak merealisasikan sasaran untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurutnya, usaha ke arah matlamat itu perlu dilaksanakan agar ia turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

Jelas Julaihi, 512 daripada 600 buah menara SMART yang dirancang dibina di seluruh negeri ini sudah siap dibina.

“Daripada 512 yang siap itu sebanyak 308 menara sudah ‘on air’ dan 247 menara sudah menggunakan perkhidmatan MOCN di seluruh Sarawak,” katanya.

Julaihi berkata usaha berterusan menambah baik perkhidmatan liputan rangkaian sentiasa dilaksanakan bagi membolehkan ketersambungan rangkaian memanfaatkan penduduk di bandar dan luar bandar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini