comscore
Tumpuan :
Nasional

RM28.5 juta tunggakan bil pengguna Air Kelantan  

Foto hiasan

KOTA BHARU: Jumlah tunggakan bil pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) hingga September tahun ini mencecah sebanyak RM28.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, berkata jumlah itu adalah pengurangan ketara berbanding sehingga Disember tahun lalu sebanyak RM33.2 juta.

Punca utama tunggakan adalah daripada pengguna domestik yang masih tinggi iaitu berjumlah RM18.4 juta hingga September tahun ini.

“Kutipan sedikit perlahan disebabkan pengguna domestik yang masih dalam pasca COVID-19 kini dalam peringkat pemulihan.

“Bagi meningkatkan hasil kutipan, AKSB menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih.

“Pada masa sama, kita menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan melalui internet,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mengenai jumlah tunggakan bil AKSB dan penyebab kepada tunggakan itu.

Mengulas lanjut, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok, berkata beberapa tindakan turut diambil AKSB bagi pengguna bil yang tertunggak.

“Notis dalam bil akan dicetak untuk dimaklumkan kepada pengguna yang mereka mempunyai tunggakan. Bagi pengguna yang melebihi tempoh tiga bulan tertunggak dan melebihi RM1,000, pemotongan terhadap akaun akan dibuat.

“Selain itu, bagi yang melebihi tiga bulan namun bil kurang dari RM1,000, unit penguatkuasaan jajahan akan membuat lawatan ke premis pengguna yang berkenaan untuk membuat rundingan pembayaran,” katanya.

Pada masa sama, ketika menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, Azami berkata pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.

“Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan.

“Sejak April 2020 hingga Julai tahun ini, kita surah membelanjakan RM11.5 juta untuk agihan air percuma kepada golongan asnaf dan ini salah satu tanggungjawab sosial kita,” katanya.

Loading...
Terkini