comscore
Tumpuan :
Nasional

Rokok seludup RM1.28 juta ditinggal tepi jalan, elak dicekup

BESUT: Gara-gara terserempak dengan sekatan jalan raya, anggota sindiket nekad meninggalkan lori di tepi jalan dengan muatan rokok disyaki diseludup bernilai keseluruhan lebih RM1.28 juta di Kampung Pachakan, Kuala Besut.

Pemeriksaan terhadap lori itu menjumpai 760,000 batang rokok jenama terkenal yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori mencurigakan itu yang disyaki sengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan Ahad lalu.

“Intipan dan pemerhatian telah dilakukan selama tiga jam sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap lori terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berat tersebut mengandungi 76 peti berisi 50 karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

Polis tidak menolak kemungkinan rokok jenama terkenal yang diseludup masuk dari negara jiran tersebut sedang dibawa untuk pasaran Lembah Klang atau selatan tanah air.

Nilai rokok yang dirampas ialah RM340,000 manakala cukai tidak dibayar pula bernilai RM836,000.

Menurut Mazli lagi pihaknya turut merampas sebuah lori yang didaftarkan di Batang Kali, Selangor bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Loading...
Terkini