comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rumah musnah dihempap pokok durian 

JELEBU: Seorang peniaga bersyukur terselamat, susulan kediamannya di Kampung Petaseh Jelatang di sini musnah dihempap pokok durian
berusia lebih 80 tahun setinggi 19 meter dalam kejadian, petang semalam.

“Mujur anak perempuan berusia 16 tinggal di asrama dan tidak pulang ke rumah petang semalam, jika tidak saya bukan sahaja kemusnahan rumah tetapi kehilangan anak kerana pokok durian yang tumbang menyebabkan kemusnahan 100 peratus,” luah Norhaslilee Ibrahim, 47.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, ia dipercayai berlaku ketika hujan dan ribut petir hingga menyebabkan Norhaslilee mengalami kerugian dianggarkan RM100,000, apabila peralatan elektrik, perabot dan motosikal musnah manakala sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Serena turut mengalami kerosakan.

Norhaslilee berkata ketika kejadian dia berada di Senawang kerana berniaga manakala suaminya bekerja di Johor Bahru.

Katanya dia dimaklumkan jiran yang menelefonnya pada jam 5.40 petang dan mahu bergegas pulang bagi melihat rumahnya itu namun dilarang berikutan keadaan tidak selamat.

“Saya hanya mampu bertenang dan pulang melihat keadaan rumah pagi tadi dan memang terkejut kerana keadaan sangat teruk dan mustahil untuk dibaik pulih.

“Mujurlah ketika kejadian kami tidak berada di rumah, anak perempuan memang tinggal di asrama, anak yang bongsu sekolah di Senawang mengikut saya berniaga di sini,” katanya.

Katanya buat masa ini dia akan ditempatkan sementara waktu di inap desa berhampiran sebelum menunggu sebuah bengkel berdekatan kediamannya yang musnah dibaik pulih bagi dijadikan rumah sementara.

“Atap rumah ini diganti ketika kerajaan membenarkan pengeluaran wang daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara berdepan Covid-19 dengan kos RM6,000,” katanya.

Pelbagai pihak antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), UMNO Bahagian Jelebu dan penduduk kampung bergotong-royong menjalankan kerja pembersihan bermula pada jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu Penghulu Mukim Pertang Mohd Zaffarin Abdul Malek berkata pembinaan semula rumah berkenaan akan diputuskan dalam satu mesyuarat sama ada menggunakan peruntukan daripada Tabung Bencana Darurat Negeri atau peruntukan Pejabat Parlimen.

Bagaimanapun katanya ketika ini keutamaan adalah bagi memastikan kebajikan ahli keluarga yang terjejas termasuk mencari penempatan sementara pada hari ini.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jelebu juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini