comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah terbakar, baju raya dan wang tunai RM20,000 hangus

Shafie sayu melihat kediaman keluarganya hangus di Kampung Gerong, Apal, Jertih, Besut tengah hari tadi. – FOTO: NSTP

BESUT: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila rumahnya terbakar ketika dia sedang mandi bersama anak keduanya di luar rumah, tengah hari tadi.

Mangsa, Shafie Yusof, 55 tahun, dari Kampung Gerong, Apal berkata, ketika kejadian dia baru pulang selepas mengambil anaknya, Nur Aulia Sofia, 5, pulang dari prasekolah jam 12.30 tengah hari.

Dia berkata, isterinya, Rohana Che Nordin ,44, yang bertugas sebagai guru serta anak sulung mereka, Nur Adrina Shafina, 8, masih berada di sekolah.

“Pada awalnya saya tidak sedar rumah terbakar kerana tidak terbau hangit atau bunyi bising kerana sedang mandi di hadapan rumah.

“Namun ketika mahu masuk ke dalam rumah mengambil baju, saya perasan ada api serta asap tebal dari arah tengah kediaman.

“Nasib baik anak segera berlari menghala ke rumah jiran, jika dia berlari masuk ke dalam rumah mungkin akan terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Gerong, Apal, Jertih di sini.

Sementara itu, Rohana berkata, segala persiapan raya termasuk baju raya anak-anak yang dibeli beberapa hari lalu turut hangus dalam kebakaran.

“Sejumlah wang tunai RM20,000 dikeluarkan dari bank kebetulan disimpan dalam bilik untuk membaiki rumah juga tidak dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

“Segala dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank, pakaian, peralatan rumah juga hangus,” katanya.

Katanya, buat sementara waktu mereka akan tinggal di rumah keluarga terdekat.

Loading...
Terkini