comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rumah terbakar: Bunyi letupan selamatkan nyawa enam beranak

Dua rumah hangus dalam kebakaran di Kampung Kajang Sebidang, di Tumpat hari ini.

TUMPAT: “Nasib baik saya terdengar bunyi letupan kecil beberapa kali dari rumah sebelah, jika tidak sudah pasti kami enam beranak terperangkap dalam kebakaran,” kata mangsa kebakaran dua rumah di Kampung Kajang Sebidang, di sini, hari ini.

Noraidah Mohd Sidi, 32, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi apabila dia yang ketika itu berada di ruang tamu rumah terdengar bunyi letupan kecil dan segera membuka tingkap.

“Alangkah terperanjatnya saya apabila ternampak asap tebal berserta api yang sedang marak dari rumah sebelah yang hanya jarak beberapa meter sahaja dari rumah kami,” katanya.

Tambah Noraidah, dia segera menjerit memberitahu suami sebelum mengarahkan dua anak, ibu serta adik keluar menyelamatkan diri kerana api semakin merebak ke rumahnya.

Noraidah menjelaskan dia hanya sempat mencapai beg duit serta dokumen pengenalan diri keluarganya yang disimpan di dalam almari sebelum berlari keluar sehelai sepinggang.

Rumah pertama dipercayai tempat kebakaran bermula dan dihuni tiga sepupu Noraidah musnah sepenuhnya.

Kedua-dua kediaman dibina dengan menggunakan kayu.

Noraidah berkata api marak amat pantas menyebabkan beliau sekeluarga dan orang kampung tidak sempat untuk memadamkan kebakaran.

Ketika kejadian, semua tiga sepupunya tiada di rumah.

Untuk sementara, Noraidah dan keluarga kini menumpang di ibu saudaranya.

“Ibu saudara mempunyai rumah sewa dan mungkin kami akan menyewa di rumah itu sehingga rumah baru yang entah bila dapat dibina semula,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini