comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak, dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

RUU itu antara lain menetapkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan membabitkan persembahan seksual kanak-kanak.

Antara kesalahan itu termasuk membuatkan atau menyebabkan kanak-kanak melakukan persembahan seksual; turut serta, sama ada sebagai peserta atau penonton dalam persembahan seksual; mengiklankan, mempromosikan atau memudahkan persembahan seksual serta menerima apa-apa manfaat termasuk kewangan daripada persembahan seksual berkenaan.

Berdasarkan RUU itu, ‘persembahan seksual’ bermaksud apa-apa perlakuan seksual secara terang-terangan yang dipersembahkan di hadapan seorang penonton atau lebih, termasuk yang dirakam atau dihantar keseluruhannya atau sebahagiannya, melalui apa-apa cara termasuk tidak terhad kepada cara elektronik, mekanikal, digital, optik atau magnetik, atau gabungan apa-apa cara.

Selain itu, bagi perkara membabitkan pemerasan seksual kanak-kanak seperti mengugut melakukan aktiviti bersifat seksual, mengugut mereka berkongsi apa-apa gambaran sama ada dalam bentuk visual, audio atau bertulis, individu berkenaan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun jika disabitkan.

RUU itu turut menyatakan perintah bagi pembayaran pampasan kepada mangsa kanak-kanak yang mana jumlah wang ditetapkan mahkamah berdasarkan kecederaan dialami mangsa.

Azalina turut membentangkan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, yang bertujuan menambah baik perlindungan terhadap saksi kanak-kanak dengan menaikkan umur saksi kanak-kanak daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Ia bertujuan memasukkan peruntukan yang membolehkan mahkamah melarang apa-apa soalan tidak wajar kepada saksi kanak-kanak ketika pendengaran khas seperti yang bersifat memperdayakan atau mengelirukan, menghina, menakut-nakutkan, mengaibkan, mengganggu, menggusarkan, menyinggung, menindas atau mengulang secara tidak perlu.

Mengikut RUU itu, seseorang saksi kanak-kanak semasa pendengaran khas boleh memberikan keterangan dengan cara mengadakan suatu pengadang di antara kanak-kanak itu dengan tertuduh atau kanak-kanak yang dipertuduh atas mana-mana kesalahan atau dengan cara rangkaian secara langsung atau gabungan kedua-duanya.

Azalina berkata, bacaan kali kedua RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 juga diadakan pada mesyuarat kali ini. -BERNAMA

Loading...
Terkini