comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah nafi dakwaan makanan halalan toyyiban sukar dicari

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, KSTI merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menyampaikan sumbangan pendidikan kepada salah seorang penerima sumbangan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, SICC Kota Kinabalu. – FOTO: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan pihaknya komited dalam usaha memperkasakan industri halal di Sabah dan tidak pernah mengabaikan aspek halalan toyyiban (halal lagi baik).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, KSTI merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata mana-mana pihak atau individu yang mempunyai sebarang kekeliruan berkaitan makanan halalan toyyiban diminta untuk merujuk kepada agensi atau jabatan berkenaan negeri ini.

“Kalau (produk makanan di Sabah) mempunyai logo halal ertinya ia adalah halal. Apa-apa masalah atau kekeliruan harus merujuk Majlis Ugama Islam Sabah, MUIS; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JHEAINS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM,” katanya.

Tambah Dr Mohd Arifin, bagi memperkasa makanan halalan toyyiban, kerajaan negeri turut mempunyai Majlis Halal Sabah, MAHAS; Jawatankuasa Halal Sabah dan MUIS Halal Hub.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, SICC di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu video tular di laman media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa makanan halalan toyyiban amat sukar dicari di negeri Sabah.

Loading...
Terkini