comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah peruntuk RM54.05 juta untuk sekolah &  badan keagamaan bukan Islam 2023  

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM54.05 juta dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk bantuan sekolah dan pemberian kepada badan keagamaan bukan Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah itu meningkat  RM7.05 juta berbanding  2022.

“Inilah tanda dan bukti bahawa Kerajaan Negeri serius dan ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya pada Majlis Perasmian Sambutan KK Christmas 2022 di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Teks ucapan beliau dibacakanTimbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan.

Hajiji turut menyeru rakyat Sabah terus bersama-sama kerajaan dalam memastikan kemakmuran sosial dipelihara demi kesejahteraan dan manfaat bersama.

“Lupakanlah perkara berkaitan politik kerana sekarang adalah masa untuk kita bekerja demi rakyat dan negeri. Apa yang penting, kerjasama dan sokongan daripada rakyat akan menyumbang kejayaan kepada segala dasar dan program yang sedang kita laksanakan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya”, tegasnya.

Perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini katanya perlu dikekalkan untuk kebaikan generasi sekarang dan akan datang.

Apa jua tindakan yang menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, wajar dihindari agar agenda pembangunan dapat direalisasikan.

Hajiji berkata, semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah sudah lama dipraktikkan.

“Malah dalam setiap perayaan, kita meraikan tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, saya mahu rakyat di negeri ini untuk bersama-sama mengenepikan perbezaan dan fokus kepada nilai yang menyatukan dan bukan memecah belahkan sesama rakyat”, tambahnya.

Kerajaan Negeri ujarnya menghargai komitmen  Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Gereja menganjurkan sambutan KK Christmas Gereja Sabah, kali ke-17 bersama rakyat di daerah Kota Kinabalu.

Hajiji turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat Sabah.

Loading...
Terkini