comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah tubuh ‘Task Force’ pantau isu air dan elektrik

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat pertama pasca kabinet negeri Jabatan Ketua Menteri tahun ini di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu hari ini. FOTO: Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas ‘Task Force’ bagi memantau isu bekalan air dan elektrik di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pasukan itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan akan mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya dalam setiap dua minggu.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasca kabinet negeri Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta satu laporan terperinci disediakan berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ini kerana menurut Anwar, peruntukan RM3 juta telah diluluskan sewaktu kunjungan beliau ke negeri itu tahun lalu.

Manakala dua hari lalu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di UMS.

Isu itu menjadi semakin hangat apabila Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada kelmarin mengeluarkan notis melaksanakan catuan elektrik di beberapa kawasan di seluruh Sabah atas faktor permintaan tinggi bekalan elektrik.

Dalam perkembangan lain Hajiji mengesahkan telah mengarahkan supaya semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengelak daripada mengumumkan atau mengeluarkan kenyataan mengenai projek pembangunan tanpa sebarang lampu hijau daripada kabinet.

Beliau berkata semua GLC Sabah juga dikehendaki merujuk kepada menteri berkaitan atau kabinet negeri sebelum membuat sebarang perjanjian untuk mengelakkan komplikasi pada masa hadapan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini