comscore
Tumpuan :
Nasional

Saifuddin nasihat Rafizi rehat sepenuhnya sebelum kembali bertugas

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) menasihatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kanan) supaya rehat sepenuhnya sebelum kembali bekerja.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya rehat sepenuhnya sebelum kembali bekerja.

Saifuddin berkata, beliau difahamkan, Ahli Parlimen Pandan itu masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas selamat menjalani prosedur sten jantung minggu lalu.

Menurutnya, beliau tidak sempat lagi bercakap dan melawat Timbalan Presiden PKR berkenaan buat masa ini kerana pelawat tidak dibenarkan masuk.

“Menerusi sumber terdekat, Rafizi selamat menjalani prosedur sten jantung dan sekarang beliau tengah berehat. Mengenali Rafizi, beliau seorang yang degil dan jika doktor beri rehat dua minggu, dia mungkin akan ambil seminggu sahaja.

“Sebab beliau (Rafizi) seorang yang kuat bekerja (workaholic). Jika saya berpeluang cakap dengannya sehari dua ini, saya akan nasihatkan dia supaya pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja.

“Ketika ini, beliau memikul tugas yang berat di Kementerian Ekonomi terutama dari segi melengkapkan data mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Jubli Intan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini dilaporkan berkata, keadaan kesihatan Rafizi semakin baik dan berada di bawah pengawasan doktor selepas mengalami masalah jantung minggu lalu dan kini dirawat di PPUM.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau mengenali Rafizi sebagai seorang yang sangat ‘perfectionist’ namun akan berusaha melengkapkan tugasan apabila tiba masanya.

Jelasnya, Rafizi bukan seorang yang buat kerja semberono atau ala kadar namun, seberat mana pun tugas soal kesihatan adalah keutamaan dan segalanya.

“Buat masa sekarang saya doakan kesihatan beliau dan jika berpeluang jumpa sehari dua ini, diberikan izin untuk ziarahi beliau, saya akan bercakap sebagai seorang abang kepada adik. Memang tugas kita berat tapi kesihatan adalah segalanya,” katanya.

Loading...
Terkini