comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak alu-alukan cadangan wujud lebih banyak penerbangan terus ke negeri itu

KUCHING: Sarawak sentiasa terbuka dan mengalu-alukan cadangan kepada syarikat penerbangan luar untuk mengadakan penerbangan terus ke bandar-bandar utama di negeri itu.

Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia juga selaras rancangan kerajaan Sarawak untuk menaiktaraf semua lapangan terbang utama di negeri itu membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan Sarawak untuk menjadi hab penerbangan serantau dengan negeri itu bakal mengoperasikan syarikat penerbangannya sendiri tahun hadapan.

Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Syarikat penerbangan kita itu boleh kita anggap bukan sahaja untuk penerbangan domestik Sarawak sahaja sebaliknya ia adalah syarikat penerbangan serantau.”

“Apabila ia menjadi syarikat penerbangan serantau bermakna destinasinya bukan sahaja di dalam negara sahaja tetapi juga merangkumi destinasi lain seperti Singapura, Hong Kong, Korea, Indonesia dan sebagainya, jadi mahu tidak mahu kita tidak dapat lari daripada perkara itu (penerbangan terus ke Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara penangguhan Pesta Suntong Bako di Kuching hari ini.

Bagaimanapun menurut Abdul Karim, sebarang penukaran status Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu kepada taraf antarabangsa perlu dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan memandangkan pengurusan lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa kementerian terbabit.

Jelasnya, kekangan utama sektor perlancongan di Sarawak ketika ini adalah kekurangan penerbangan terus dan sambungan dari destinasi sasaran terus ke negeri itu yang antara lain mengakibatkan jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak sedikit berkurang.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyatakan kajian kebolehlaksanaan sedang dilakukan untuk melihat kemungkinan mewujudkan penerbangan terus dari beberapa lokasi di China ke Sarawak.

Katanya, setakat ini hanya satu penerbangan antarabangsa baharu sudah ditetapkan membabitkan Hunan ke Kuching dan dicadangkan supaya turut membabitkan Sibu dan Bintulu dari Fuzhou, China selaras dengan kawasan tengah Sarawak yang mempunyai ramai etnik kaum Cina Fuzhou.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini