comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak berpotensi majukan peralihan tenaga

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Forum Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mampan (SAREF) 2023 di Kuching

KUCHING: Sarawak berupaya memainkan peranan utama dalam usaha memajukan peralihan tenaga daripada berasas bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbahurui bagi rantau Asia Tenggara.

Ia menerusi perkongsian penjanaan tenaga yang berasaskan sumber hidro dan biomass melalui jaringan hubungan tenaga dengan negara serantau

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranan terbabit disokong oleh kedudukan Sarawak yang berada di bahagian Pantai Timur Laut Borneo dan berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Sabah menjadikan ia lokasi utama yang sesuai sebagai pemangkin peralihan terbabit.

Katanya, perancangan terbabit dapat dilaksanakan melalui Grid Tenaga ASEAN dengan Sarawak menjadi Bateri ASEAN dalam menghubungkan tenaga elektrik serantau bermula dengan penyaluran bekalan ke Kalimantan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Sabah.

“Dengan permintaan tenaga yang meningkat di Asia Tenggara, kesalinghubungan dan perkongsian antara wilayah akan menjadi sangat penting pada masa hadapan.

“Beberapa laporan menunjukkan permintaan tenaga di rantau ini telah meningkat secara purata sekitar 3% setahun sepanjang dua dekad yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mampan (SAREF) 2023 di Kuching.

Menurut Abang Johari, kerjasama, komunikasi dan Persefahaman menjadi intipati penting jika rantau Asia tenggara mahu melihat kejayaan kolektif dalam usaha peralihan tenaga terbabit.

Ujarnya, dalam berhadapan dengan isu pemanasan global dan perubahan iklim, penting untuk semua pihak menyelaras dan berkongsi komitmen dalam keseimbangan alam serta manusia untuk memastikan kelestarian sumber untuk semua.

Ia kerana tindakan yang diambil pada masa kini akan memberikan kesan kepada kehidupan generasi akan datang seperti keputusan yang dibuat pada masa lalu telah memberikan kerumitan kepada generasi kini.

Loading...
Terkini