comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak mampu jadi pengeluar terbesar SAF

KUCHING: Sarawak mampu muncul sebagai antara pengeluar dan pengeksport minyak terbesar dunia jika misinya untuk menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) menggunakan mikroalga dapat dicapai.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persekitaran Sarawak yang beriklim tropika menyediakan keadaan yang sesuai untuk terus mengusahakan sumber minyak secara mampan.

Beliau berkata, dengan perubahan iklim dan peralihan tenaga yang mendesak, Sarawak mempunyai kapasiti untuk menyediakan penyelesaian bahan api hijau daripada sumber mampan menggunakan mikroalga.

Jelasnya, negeri itu mempunyai rancangan untuk meningkatkan kawasan penanaman mikroalga kepada 1,000 ekar yang mampu menghasilkan kira-kira 500,000 tan minyak alga mentah setahun.

“500,000 tong setahun ini boleh disamakan dengan kira-kira 10,000 tong minyak sehari dengan kira-kira 37 peratus kadar pengekstrakan minyak alga mentah daripada biojisim alga.

“Ini mungkin bermakna kita tidak perlu lagi mencari minyak lagi di luar pesisir atau darat dan kita boleh mempunyai “petani” kami menanam minyak dengan lebih mampan dan kita boleh menjadi seperti Arab Saudi,” katanya ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching.

Menurut Tan Sri Abang Johari, ketika ini terdapat terdapat dua kemudahan yang mengusahakan penanaman mikroalga dengan teknologi berbeza di Sarawak.

Jelasnya, kemudahan pertama di Sejingkat, Kuching, menggunakan platform solar hasil kerjasama antara Sarawak Energy, Pusat Biodiversiti Sarawak, Eneos Corporation dan Chitose Group dari Jepun.

Manakala kemudahan kedua pula menggunakan penggunaan tangki dan air laut di Demak laut merupakan kerjasama antara SEDC Energy dan Petronas.

Loading...
Terkini