comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak pesan 38 unit ART, beri perkhidmatan tiga laluan hubungkan Kuching-Samarahan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memesan 38 unit lagi kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen sebaik sahaja ujian kejuruteraan kenderaan prototaip itu selesai.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesemua kenderaan itu akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan tiga laluan fasa pertama Rangkaian Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS) yang dijadual mula beroperasi secara berperingkat pada penghujung 2025.

“Tiga laluan berkenaan iaitu laluan merah, laluan biru dan laluan hijau akan menghubungkan kawasan di Samarahan dengan kawasan di bandaraya Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ujian kejuruteraan dan peringkat kedua Latihan Bukti Konsep (POC) untuk prototaip ART di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif yang dipelopori oleh kerajaan negeri dalam mentransformasi pengangkutan awam di Sarawak itu akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat di dua kawasan terbabit.

Katanya, antara manfaat itu termasuk menyediakan mobiliti yang fleksibel serta mampu milik untuk orang ramai, selain turut mesra pelancong.

“Ini bermakna mereka boleh ke destinasi yang dituju oleh mereka dengan menaiki ART.

“Sebagai contoh, jika pelancong ingin pergi ke Damai, mereka boleh menaiki ART itu dan terus ke destinasi mereka di Damai,” katanya.

Tambah Abang Johari, kadar tambang bagi ART itu akan diputuskan kemudian, namun beliau memberi jaminan ia tidak akan membebankan orang ramai.

Jelasnya, akan terdapat kadar tambang istimewa yang dikhaskan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Ini secara tidak langsung akan membantu dalam usaha kita untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Samarahan dan Kuching,” katanya.

Loading...
Terkini