comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak teliti terminologi sesuai untuk badan perundangan tertinggi

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Aidilfitri di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Kuching.- Foto: NSTP

KUCHING: Satu jawatankuasa khas dibentuk kerajaan Sarawak bagi meneliti terminologi sesuai untuk menggantikan perkataan ‘negeri’ bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pertukaran istilah itu perlu kerana dalam pembentukan Malaysia, status Sarawak tidak sama dengan negeri lain di Semenanjung.

Berikutan itu katanya, terminologi yang sesuai perlu digunakan selaras dengan status Sarawak ketika pembentukan Malaysia.

“Sarawak bukan berstatus negeri dan terminologi Dewan Undangan Negeri digunakan oleh semua negeri, tetapi pada masa ini istilah wilayah juga tidak sesuai untuk Sarawak kerana ia setaraf dengan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

“Bagi merungkai perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Peguam Besar Sarawak, Datuk Saferi Ali akan mengetuai jawatankuasa bagi meneliti terminologi yang sesuai selaras dengan undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Aidilfitri di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.

Tan Sri Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar semalam, mengenai istilah ‘DUN’ yang digunakan ketika ini sejak 1976 perlu ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak kerana Sarawak dirujuk sebagai wilayah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun Tan Sri Mohd Asfia berkata, penggunaan nama baharu bagi menggantikan terminologi DUN itu hanya akan dilakukan sekiranya mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Mengulas lanjut, Tan Sri Abang Johari berkata, di negara Komanwel lain khususnya Kanada dan Australia, badan perundangan wilayah dikenali sebagai ‘Provincial Parliament’.

Sehubungan itu katanya, berikutan Malaysia antara negara di dalam Komanwel, Sarawak layak menggunakan terminologi ‘Parlimen’ untuk badan perundangan tertingginya.

“Untuk itu Peguam Besar Sarawak akan meneliti apakah langkah terbaik mengikut perlembagaan untuk kita menukar terminologi Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian dengan yang digunakan di negara Komanwel lain.

“Penggunaan terminologi itu perlu mengikut undang-undang serta bersesuaian dengan status seperti gelaran Premier (yang digunakan di Sarawak) juga digunakan di negeri-negeri di Kanada dan Australia,” katanya.

Sebelum dikenali sebagai DUN Sarawak pada 1976, badan perundangan tertinggi Sarawak yang ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).

Pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak.

DUN Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia dengan jumlah ahlinya seramai 82 orang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini