comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak tunggu kelulusan Parlimen untuk laksana pindaan Ordinan Buruh

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek, Datuk Gerawat Gala (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Sarawak di Kuching. FOTO: NSTP

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengharapkan pindaan Ordinan Buruh Sarawak dibentangkan pada persidangan parlimen akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata pindaan itu sudah dimuktamadkan di peringkat kerajaan negeri Sarawak dan dipersetujui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri Sarawak kini hanya menunggu ianya dibentangkan di parlimen bagi mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.

“Apabila sudah dibentangkan nanti dan diluluskan di parlimen, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong akan menentukan bila undang-undang itu termasuk pindaan akan dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Sarawak anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor serta Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak, Zaidi Nazar.

Gerawat berkata pindaan Ordinan Buruh Sarawak itu membabitkan banyak perkara untuk kepentingan pekerja di Sarawak.

“Ordinan Buruh Sarawak adalah undang-undang Persekutuan tetapi hanya terpakai di Sarawak dan apabila diluluskan di parlimen ia tidak perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.”

“Berikutan peredaran masa, banyak perkara perlu dipinda demi kepentingan pekerja di wilayah ini,” katanya.

Pada 20 Februari lalu, Steven Sim memberi jaminan KESUMA bersedia membantu kerajaan negeri Sarawak menyelaraskan Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang sudah berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata Ordinan Buruh Sarawak perlu dipinda berikutan banyak perkara berhubung hak pekerja tidak selaras dengan Semenanjung Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini