comscore
Tumpuan :
Nasional

“Saya belum menjadi abang yang baik kepada dia” – Azza Fitri Azhar

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

BIDOR: “Saya belum menjadi seorang abang yang baik pada dia.”

Itu luahan yang diberikan Ahmad Azza Fitri Azhar, 24 tahun yang merupakan abang kepada Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor semalam.

Katanya, dia telah kehilangan adik, keluarga dan rakan gaduh kerana arwah merupakan satu-satunya adik lelaki dalam keluarga.

“Saya dan dia (arwah) sahaja yang lelaki daripada lapan adik beradik kini, tinggal saya seorang.

“Apabila berjumpa, kami akan bersembang dan lepak bersama-sama untuk tempoh yang lama kerana jarang dapat berjumpa kerana tugasan masing-masing sebagai anggota polis,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman di Jalan Kampung Poh, Bidor.

Katanya lagi, kenangan terakhir bersama arwah ialah semasa Ramadan tahun ini.

“Sudah empat tahun kami tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dan saya tidak menyangka tiada lagi sambutan itu bersama arwah selepas ini,” katanya.

Ahmad Azza Fitri Azhar merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

Tinjauan di kediaman arwah mendapati ia mula dikunjungi orang kampung, kenalan termasuk Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asmawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.

Jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar dijangka tiba di kampung halaman pada pukul 3 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh pada hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi semalam itu, tiga tiga terkorban termasuk dua anggota polis yang sedang bertugas selepas lelaki bertopeng menceroboh dan menyerang Balai Polis Ulu Tiram.

Mangsa yang terkorban ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.

Allahyarham Ahmad Azza bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram sementara Allahyarham Muhammad Syafiq merupakan anggota prowler di balai berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian serangan ke atas anggota polis di balai polis itu untuk melakukan rampasan senjata api.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini