JOHOR BAHRU: “Apabila berada di kelas, saya hampir lupa beliau adalah ibu saya kerana ibu tidak pernah membezakan saya dengan pelajar lain, sekiranya saya silap tetap ditegur dan dikenakan tindakan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Impian Emas, Adam Hasiff Abdul Latiff Badiuzaman.
Adam Hasiff, 13, berkata dia kagum dengan cara ibunyu, Suhailie Samik, 40, mengendalikan pembelajaran mata pelajaran Sains di sekolah serta sikap beliau yang tidak berat sebelah.
Menurutnya, ketika berada di rumah mahupun di sekolah, ibunya menjadi seorang yang tegas dan sentiasa menjadi contoh terbaik.
“Pernah saya lupa membawa buku ke sekolah dan tidak menyiapkan kerja rumah, ibu tetap kenakan tindakan seperti pelajar lain.”
“Namun selepas pulang ke rumah, ibu membantu saya menyelesaikan masalah dalam pelajaran.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru bagi ibu dan berharap beliau sentiasa sihat dan dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Suhailie berkata dia merupakan antara empat guru perempuan yang menimba pengalaman baharu apabila mengajar anak kandung di sini.
“Tahun ini adalah pengalaman pertama saya mengajar anak sendiri, mula-mula memang berasa janggal namun lama-kelamaan saya semakin selesa.
“Kelebihan mengajar anak sendiri di sekolah termasuk mampu memantau secara langsung dan mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya dalam akademik selain mampu mengenali siapakah rakan rapatnya.
“Saya juga menerima pandangan anak berkaitan cara pengajaran dan penyampaian saya bagi memastikan penerimaan lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Guru di SMK Impian Emas di sini hari ini.
Hadir sama, pengetua sekolah, Wong Cheui Keen dan penyelaras program, Aizul Hafizee Ahmad.
Sementara itu, seorang guru, Noruzaimahwati Idrus, 40, berkata pengalaman mengajar anak kandung, Nur Nabihah Nafisah Jasrul, 13, adalah sesuatu yang indah.
“Saya mengajar Pendidikan Islam dan kebimbangan saya adalah Nur Nabihah tidak mampu fokus serta tidak memahami kerana saya adalah ibunya.
“Alhamdullilah dia menyatakan mampu memahami apa yang saya sampaikan.
“Sehingga kini ramai pelajar tidak mengetahui saya adalah ibunya dan ketika berada di sekolah dia tetap memanggil saya cikgu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.