comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor catat notis kesalahan merokok di tempat makan tertinggi

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: 41,581 notis kesalahan merokok di tempat makan dikeluarkan sepanjang tahun lalu mengikut Peraturan 11 (1) (d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, jumlah notis itu meningkat lebih 10,000 notis berbanding 30,648 notis pada tahun sebelumnya.

“Lima negeri dengan pengeluaran notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi sepanjang tahun 2023 adalah Selangor (6,126 notis), Johor (5,174 notis), Perak (4,365 notis), Sarawak (4,240 notis) dan Pahang (4,002 notis),” katanya dalam sidang media selepas mengikuti operasi penguatkuasaan PPKHT 2004, di sini semalam.

Tambahnya, sebanyak 16,046 operasi di bawah PPKHT 2004 telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu dengan 96,127 notis kesalahan merokok di 23 tempat dilarang merokok dikeluarkan.

Dr Norhayati berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu aduan kesalahan merokok di tempat larangan terutama di premis makan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan tular di media sosial.

“KKM ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas mengenai operasi penguatkuasaan PPKHT 2004 bertemakan ‘Ops Kedai Makan’ selama dua hari bermula Selasa lalu, Dr Norhayati memaklumkan, sebanyak 119 notis kesalahan dengan nilai sebanyak RM28,950 dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983.

Operasi yang menumpukan premis makan yang menerima aduan paling banyak itu membabitkan seramai 85 Pegawai Diberi Kuasa (PDK) dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL & Putrajaya), Sektor Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit dan Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.

Antara kesalahan dilakukan adalah gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis, gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing termasuk empat notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok oleh orang belum dewasa.

“Pada masa sama, KKM sentiasa konsisten untuk menjalankan aktiviti promosi dan advokasi kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bantuan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), universiti, persatuan peniaga kedai makan dan peniaga kedai.

“Selain itu, hebahan dan taklimat serta sesi penerangan turut diadakan oleh KKM dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape,” katanya.

Beliau turut menyeru perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf KKM.

Ujarnya, pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com.

Loading...
Terkini