comscore
Tumpuan :
Nasional

Selaraskan harga getah bandar dan luar bandar, lantik lebih banyak pembeli getah berlesen

Harga getah dikatakan meningkat lebih RM4 sekilogram tetapi ramai pekebun tidak mendapat faedahnya berikutan kadar harga yang amat berbeza antara kawasan luar bandar dan pendalaman. Gambar fail.

JERANTUT: Pekebun kecil getah merayu supaya harga getah diselaraskan dengan melantik lebih banyak pembeli getah berlesen di luar bandar.

Ia bagi menghindari harga yang diambil pihak pembeli berbeza antara satu sama lain dan terlalu rendah dengan harga semasa.

Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata kenaikan harga getah semasa pada masa ini melebihi RM4 sekilogram melegakan pekebun kecil getah.

Katanya, kenaikan harga getah melebihi daripada RM4 sejak bulan lalu dapat melegakan sementara kalangan pekebun kecil lebih-lebih lagi ketika berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Malangnya, menjadi tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan pekebun kecil di sini, iaitu harga getah dan getah sekerap yang dibeli oleh pihak pengumpul atau pembeli tidak selaras di kebanyakan tempat seluruh negara.”

“Bagi kawasan luar bandar, harga getah yang ditawarkan oleh pihak pembeli atau pengumpul antara RM3 hingga RM3.50, begitu juga kawasan pedalaman ada kalangan pekebun cuma memperoleh antara RM2.50 hingga RM3.00.”

Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim. – FOTO: NSTP

Katanya, lebih malang lagi, apabila ada penoreh yang cuma menerima hasil jualan getah kurang daripada RM2 sekilogram khususnya kawasan yang jauh dari bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli di Pahang dan tempat lain.

“Kemungkinan harga yang tidak sama berlaku di bebeberapa tempat berpunca daripada pembeli yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ bagi pihak pengumpul berlesen di kawasan tertentu.”

“Orang tengah ini akan mengambil sedikit keuntungan dengan memotong harga berkenaan dengan alasan jarak perhubungan kenderaan atau pengangkutan yang jauh serta kualiti getah dan getah sekerap berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatan Kuasa Kebajikan PKPPM Kebangsaan selanjutnya mencadangkan pihak berwajib perlu membuka lebih banyak pusat pengumpul atau pembeli getah yang berlesen di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memberikan kemudahan kepada pekebun kecil.

“Pembelian daripada pihak pengumpul sewajarnya membeli dengan kadar harga yang sama bagi mereka yang berdekatan dengan kemudahan pusat tersebut.”

“Cuba bayangkan seorang pekebun yang mempunyai hasil yang kurang daripada 100 kilogram sudah tentu tidak sanggup memunggah getah sekerap dalam perjalanan yang jauh ke pusat pengumpul di luar seperti yang dialami oleh pekebun kecil di Pos Lenjang dan Pos Sinderut kawasan Ulu Jelai,” katanya.

Katanya, di Pahang masih wujud harga jualan yang tidak selaras dan nampak perbezaan setiap kawasan luar bandar dan pinggir bandar malahan harga pembelian yang tidak masuk akal dialami oleh pekebun kecil di pedalaman negeri ini.

“Diharapkan kerajaan turut menimbangkan pemberian subsidi bersasar diesel kepada pekebun kecil atau pembeli berlesen di pedalaman dan luar bandar supaya dapat meringankan kos pengangkutan antara beban selama ini menyebabkan kesan pembelian getah dan getah sekerap tidak selaras berbanding di pinggir bandar.”

“Dengan kenaikan harga getah melebihi RM4 memberikan manfaat kepada pekebun kecil berdekatan dengan pusat pengumpulan sebaliknya mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman masih ditakuk lama dengan mendapat pendapatan yang rendah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini