comscore
Tumpuan :
Nasional

Seramai 342 pelajar di Pensiangan terima Perantisiswa Keluarga Malaysia

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) pada Majlis Pelancaran Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

KOTA KINABALU: Seramai 342 pelajar tingkatan enam di Parlimen Pensiangan menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diluluskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kata Ahli Parlimennya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata PerantiSiswa itu telah diserahkan kepada pelajar di tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau sebanyak 103 unit, SMK Nabawan (125 unit) dan SMK Sook (114 unit).

“Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia mencerminkan komitmen Kerajaan, dalam memastikan para pelajar dari kelompok B40 mempunyai akses kepada sistem pembelajaran yang inklusif.

“Inisiatif ini diharapkan akan dapat meringkankan beban keperluan pendidikan, khususnya bagi pelajar tingkatan enam dan seterusnya menjadi pembakar semangat untuk para pelajar tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata kerajaan juga meletakkan ketersambungan telekomunikasi sebagai salah satu keutamaan, khususnya di kawasan pedalaman dan ini telah dibuktikan dengan pembinaan 46 menara telekomunikasi baharu, dan menaik taraf 44 menara telekomunikasi di Parlimen Pensiangan sahaja.

“Dengan adanya capaian internet dan program PerantiSiswa ini, ianya akan membantu memudahkan lagi sistem pembelajaran secara atas talian para pelajar di samping membolehkan para belia mengikuti perkembangan semasa dengan lebih mudah,” katanya.

Parlimen Pensiangan adalah sebuah kawasan di pedalaman Sabah terletak kira-kira 250 kilometer dari arah Selatan dari Kota Kinabalu. – BERNAMA

Loading...
Terkini