comscore
Tumpuan :
Nasional

Ramai berdiam diri, tidak lapor kes gangguan seksual termasuk lelaki

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) pada Program Langkah Kasih Merdeka KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual, di Putrajaya, hari ini. NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak 506 kes gangguan seksual termasuk membabitkan mangsa lelaki direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia berdasarkan aduan diterima kementeriannya sejak tahun lalu dan mengakui jumlah kes mungkin melebihi daripada angka berkenaan.

“Jumlah (kes) gangguan seksual ini kalau berdasarkan laporan (diterima), ada sebanyak 506 setakat ini sejak tahun lalu dan ada juga dalam kalangan mangsa adalah lelaki tetapi ramai tidak melaporkannya dan hanya berdiam diri.

“Angka (506) ini adalah kes yang dilaporkan, namun ada juga kes yang tidak dilaporkan terutama sekali dalam kalangan orang lelaki dan saya percaya kes sebenarnya melebihi daripada laporan rasmi yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Program Langkah Kasih Merdeka KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual, di sini hari ini.

Program sempena sambutan bulan kemerdekaan negara itu menjadi platform bagi warga KPWKM mempamerkan solidariti dalam menangani isu gangguan seksual.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, KPWKM kini giat memperluaskan program advokasi mengenai gangguan seksual khususnya selepas Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat bulan lalu.

“Kita bermula dengan advokasi bagi memberi kesedaran supaya masyarakat mula mengenali apa yang dimaksudkan dengan antigangguan seksual,” katanya.

Terdahulu, Nancy dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, menyertai acara ‘fun walk’ bersama kira-kira 500 warga KPWKM bagi menyerahkan Notis Antigangguan Seksual (AGS) kepada beberapa kementerian.

Notis yang dibangunkan KPWKM itu adalah bagi menggalakkan setiap organisasi meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual.

Loading...
Terkini