comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan di Balai Polis Ulu Tiram: 2 pelajar IPT dibebaskan tanpa syarat

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

JOHOR BAHRU: Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang ditahan reman berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, dibebaskan tanpa syarat, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata pembebasan mereka dibuat selepas pihaknya mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara.

“Polis Johor ingin mengesahkan dua pelajar yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta dan institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan.”

“Mereka berdua dibebaskan dengan tanpa syarat semalam, selepas mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara.”

“Bagaimanapun siasatan terhadap lima keluarga suspek masih diteruskan berikutan tahanan reman mereka hanya akan tamat pada 24 Mei atau Jumaat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Mangsa yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Sabtu lalu, tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan susulan kejadian serangan itu.

Turut direman, dua pelajar IPT yang hadir di balai polis berkenaan sebelum kejadian serangan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini