comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan ketukan misteri cubaan uji ilmu hitam

Pekerja kilang, Mohd Amir Alias menunjukkan pintu rumah adiknya yang turut mengalami gangguan ketukan misteri di Kampung Baru Lubuk Machang, Chuping yang pada awal pagi Jumaat lalu. – Foto NSTP

PADANG BESAR: Penduduk Kampung Baru Lubuk Machang, Chuping di sini yang mengalami gangguan ketukan misteri di kediaman mereka sejak Jumaat lalu mendakwa kejadian berkemungkinan berlaku disebabkan perbuatan mistik.

Menurut mereka, kejadian berkenaan mungkin berpunca daripada seseorang yang ingin menguji ilmu hitam yang dipelajarinya.

Seorang penduduk, Mohd Amir Alias, 38, berkata dalam kejadian yang berlaku mangsa gangguan kebanyakannya adalah wanita.

“Malah, di dalam satu rumah pun hanya seorang sahaja isi rumah itu yang mendengar ketukan kuat.”

“Terdapat orang yang ‘ada ilmu’ di kawasan ini mengatakan bahawa kejadian berkenaan mungkin berkait dengan individu yang ingin menguji ilmu pukau yang dipelajarinya.”

“Jadi agak mustahil hanya seorang sahaja dalam satu rumah mendengar ketukan kuat dan keras seperti orang menendang atau menumbuk pintu sedangkan dalam rumah itu ada lagi orang lain yang belum tidur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung itu, di sini hari ini.

Katanya, waktu kejadian pula adalah sekitar jam 2 pagi tetapi tiada sebarang petanda seperti kesan tapak kaki, bunyi daun dipijak dan tanda lain.

“Hanya ada bunyi ayam berkokok sahaja. Malah dalam hal ini, adik perempuan saya, Nur Khairulnisa turut diganggu dengan ketukan kuat.”

“Namun apabila dia menyelak langsir, tiada apa-apa di luar rumah sedangkan keadaan di luar rumah masih diterangi lampu kalimantang dan lampu jalan.”

“Jika dikatakan haiwan atau manusia, kita pasti mendengar pergerakan ia melarikan diri dalam suasana sunyi dan hening pagi sama ada bunyi daun kering atau derap langkah,” katanya.

Dia berkata situasi itu menjadi perbualan penduduk kampung kerana boleh dikatakan hampir 70 peratus daripada kira-kira 70 buah rumah menjadi mangsa gangguan.

“Ada penduduk kampung sudah membuat aduan polis dan meminta bantuan rondaan selain peringatan dalam kumpulan komuniti di aplikasi WhatsApp mengingatkan penduduk meningkatkan tahap berjaga-jaga.

“Saya juga mendengar khabar ada rondaan pada sebelah malam melibatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan anggota polis di kawasan kampung kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis secara rasmi mengenai kejadian itu.

“Namun saya sudah pun mengarahkan anggota untuk melakukan rondaan di kawaan terbabit,” katanya.

Sejak Jumaat lalu, Perlis ‘gempar’ dengan kejadian ketukan misteri yang didakwa berlaku di beberapa kawasan seperti Batu Bertangkup, Chuping serta Panggas dan Arau. – Wires NSTP

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini