comscore
Tumpuan :
Nasional

Siapa pencipta sebenar imej ‘All Eyes on Rafah’

Slogan ‘All Eyes on Rafa’ dikongsi secara meluas di rangkaian media sosial dan penerbitan lain terutam X. Foto dari sumber media sosial

KUALA LUMPUR: Imej ‘All Eyes on Rafah’ yang dikongsi lebih 50 juta di Instagram dan mendapat perhatian global dipercayai dihasilkan oleh dua rakyat Malaysia.

Memetik laporan National Public Radio (NPR), sebuah organisasi media yang berpangkalan di Amerika Syarikat; dua individu terbabit ialah guru Sains dari Kota Kinabalu, Sabah, Zila Abka dan seorang lagi merupakan pelajar dari Kuala Lumpur, Amirul Shah.

Zila, 39, berkata dia menggunakan Pencipta Imej Microsoft untuk menjana imej berkenaan sebelum memuat naik di laman Facebook sebuah kumpulan bernama Prompters Malaya pada 14 Februari lalu.

Menurut Zila, dia menghasilkan imej berkenaan sebagai satu bentuk gesaan susulan kekejaman Israel terhadap Palestin dan turut meletakkan dua ‘watermark’ bagi menunjukkan imej itu adalah hasil ideanya.

Bagaimanapun, lapor NPR, seorang pelajar kolej, Amirul Shah, 21, dari Kuala Lumpur mendakwa beliau adalah individu pertama yang menyiarkan imej berkenaan di Instagram.

Amirul dipetik sebagai berkata dia turut menggunakan Pencipta Imej Microsoft ketika menghasilkan imej itu tetapi tidak dapat mengingati butiran bagaimana dia melakukannya.

Amirul juga mendakwa dia tidak pernah melihat gambar AI yang dicipta oleh Zila sebelum dia menghasilkan imej berkenaan yang mengandungi ‘watermark’ sendiri dan ditandakan @chaa.my_ di Instagram.

“Motif saya adalah untuk memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin, menafikan sebarang niat untuk kemasyhuran peribadi,” katanya.

Sementara itu, Zila dalam reaksi balasnya berhubung perkara itu mendakwa Amirul mengedit dan mengubah imej itu bagi dijadikan templat di Instagram.

Tambahnya, Amirul turut memotong imej yang dihasilkannya sehingga di bawah paras ‘watermark’ dan menggunakan Pencipta Imej Microsoft bagi memanjangkan bahagian latar belakang imejnya.

NPR dalam kenyataannya kemudian melaporkan bahawa Amirul menyekat organisasi itu di Instagram apabila mengetahui mengenai dakwaan Zila.

Imej “All Eyes on Rafah” pantas mencuri tumpuan peringkat global kerana dihasilkan ketika serangan tentera rejim zionis ke atas rakyat Palestin terus memuncak dan dibimbangi akan merebak hingga ke Rafah.

Ia memaparkan deretan puluhan khemah yang memanjang merentasi kawasan padang pasir melambangkan beribu-ribu rakyat Palestin yang mencari perlindungan di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai penduduk negara itu oleh rejim zionis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini