comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Siasat kenaikan harga sayur, KPDN keluarkan 60 notis

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 notis dikeluarkan terhadap 296 jenis barangan yang diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tujuan analisis dan siasat berhubung kenaikan harga sayur-sayuran melalui Operasi Pasar (Ops Pasar).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata hasil pemeriksaan awal mendapati faktor peningkatan harga sayur-sayuran kerana musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, kadar pertukaran mata wang serta kos perkapalan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius rungutan orang ramai berkenaan kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti dilaporkan media arus perdana dan media sosial.

“Kementerian sentiasa prihatin dan berusaha menangani isu-isu ini melalui tindakan proaktif dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Ops Pasar adalah antara pemeriksaan dan pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengatasi kenaikan harga sayuran di pasaran.

Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis seluruh negara termasuk yang menjual sayur-sayuran.

Pihaknya juga sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi.

“Kementerian ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan. Jika ada pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel [email protected] dan Ez ADU KPDN. – BERNAMA

Loading...
Terkini