comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sidang APEC: Malaysia mahu bawa isu Palestin, perkukuh kerjasama ekonomi 

PETALING JAYA: Malaysia berhasrat menggunakan kesempatan dalam Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco Amerika Syarikat dari 14 hingga 17 November ini, untuk mengetengahkan situasi di Palestin, bagi tujuan meraih sokongan global.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang APEC turut menonjolkan penglibatan aktif Malaysia sekali gus mencerminkan komitmen negara ke arah mengukuhkan kerjasama ekonomi, meningkatkan kemakmuran serta memupuk pembangunan saksama dan inklusif.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan, ketika di San Francisco, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke dialog tidak rasmi pemimpin ekonomi APEC bersama tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India.

Beliau juga dijangka menghadiri dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan pemimpin ekonomi APEC dan sidang kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2023.

“Pembabitan dalam acara ini akan menjadi peluang kepada Perdana Menteri menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Ekskutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan dan pemimpin APEC.

“Perdana Menteri akan menyertai Mesyuarat Kedua Pemimpin-pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF),” kata kenyataaan itu lagi.

Anwar turut akan bertemu dengan pemimpin perniagaan terkemuka Amerika Syarikat bagi memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di negara ini.

Beliau juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkaitan  kerjasama keselamatan siber.

“Dalam rangka lawatan sama, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di Universiti California, Berkeley, memfokuskan kepada ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia.

“Dalam memberikan gambaran keseluruhan keadaan geopolitik, Perdana Menteri akan menyentuh mengenai demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia.

”Sebelum pulang ke Malaysia, Perdana Menteri akan menganjurkan majlis makan malam dengan diaspora serta pelajar-pelajar Malaysia di San Francisco,” katanya.

Turut bersama delegasi Malaysia, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pegawai kanan kerajaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini