comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan hukum saya pro-Israel sebab sertai APEC – Anwar

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan menyertai sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan itu bagi menjaga hubungan diplomatik dan kepentingan negara tanpa mengabaikan soal keadilan serta menyokong perjuangan hak Palestin, meskipun mengakui keputusan berkenaan berkemungkinan tidak disenangi segelintir pihak.

“Ada desakan sekarang ini supaya saya jangan ke APEC, saya bincang dan lihat pendirian semua negara. Setakat ini semua negara Asia dan negara APEC yang lain setakat yang saya tahu akan hadir.

“Jadi apakah oleh kerana kita tidak setuju dengan pendirian AS dalam isu ini (perang Israel-Palestin) kita tidak hadir kerana bagi saya keutamaan juga adalah menjaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan dan menyokong perjuangan hak Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Dewan Utama Kementerian Kewangan. NSTP

“Setakat ini saya memutuskan untuk hadir persidangan APEC yang dihadiri oleh semua negara Asia atas undangan Presiden AS, Joe Biden ke San Francisco,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, yang mana tahun ini, ia akan bersidang di San Francisco bermula 11 hingga 17 November ini.

Ahli ekonomi APEC ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mencadang supaya Malaysia memboikot sidang APEC sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Mengulas lanjut, Anwar meminta semua pihak termasuk parti politik untuk tidak mempolemikkan isu perang Israel dan Palestin, sebaliknya berpakat mencari jalan penyelesaian.

“Tentunya keputusan ini tidak menyenang sebahagian pihak tapi jangan hukum saya sebagai pro-Israel kerana hadir persidangan itu kerana saya sebagai Perdana Menteri, saya perlu jaga kepentingan negara ini dan juga keselamatan, ekonomi, kesenangannya dan tentunya tidak berganjak dari sudut menyatakan sikap saya (terhadap mempertahankan keadilan dan menyokong perjuangan hak Palestin),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini