comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis tanpa nama di Kampung Batu 1, Dengkil, Selangor yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Cawangan Sepang yang bermula kira-kira jam 5.30 petang pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan adalah hasil maklumat awal daripada risikan yang dilakukan pihak KPDN Putrajaya beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa stesen minyak di sekitar kawasan berhampiran tempat kejadian dengan menggunakan lori yang telah diubah suai.

“(Ia) sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis menemukan minyak diesel berjumlah 12,000 liter dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan api berkenaan.

Sebuah lori, beberapa tangki jenis kontena pukal sederhana (IBC) berisi minyak diesel, paip penyambung, minyak diesel dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM49,100.

Selain itu, dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 44 tahun dan 57 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Ia bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti terbabit dan rantaian pengedaran minyak diesel termasuk sumber minyak diesel tersebut diperolehi serta diedarkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit l kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Menurut Azman, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Siasatan itu bagi tujuan mengesan, membeku, menyita dan sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Sabit kesalahan di bawah Akta 613 boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini