comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sindiket seludup sisik tenggiling disyaki rasuah pegawai kastam, ejen penghantaran barang – WJC

KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan sisik tenggiling antarabangsa yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Klang, Selangor minggu lalu dipercayai merasuah pegawai kastam dan ejen penghantaran barang. Menurut sebuah yayasan antarabangsa pembanterasan jenayah hidupan liar, Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar (WJC), sindiket itu dipercayai merasuah pegawai kastam dan ejen penghantaran barang untuk mengambil sisik hidupan liar itu yang sepatutnya dilupuskan dari gudang Jabatan Kastam.

“Sisik hidupan liar itu kemudian dijual selepas mereka memalsukan proses pelupusan yang sepatutnya dijalankan. Sindiket ini juga dipercayai terbabit dalam pengubahan wang haram,” kata WJC menerusi satu kenyataan yang dikongsikan menerusi laman sesawangnya, semalam.

Artikel berkaitan: [EKSKLUSIF]: Sogok pihak berkuasa, sisik tenggiling bernilai RM23.4 juta dirampas

Tambah kenyataan sama, setakat ini seramai 11 suspek lelaki termasuk dua pegawai kastam sudah pun ditahan dan kini sedang disoal siasat.

Katanya, kira-kira 1.8 tan sisik tenggiling dirampas setakat ini termasuk beberapa kenderaan mewah dengan anggaran nilai rampasan lebih USD5 juta (RM22.8 juta).

Dalam pada itu, WJC yang berpangkalan di The Hague, Belanda menyifatkan tindakan pihak berkuasa Malaysia membongkar sindiket penyeludupan sisik tenggiing, minggu lalu sebagai tepat pada waktunya.

“Operasi dilakukan sebaik kami mengeluarkan laporan diterbitkan minggu lalu, ’Wang Kotor: Peranan Rasuah Dalam Jenayah Hidupan Liar’, yang mendedahkan peranan rasuah sebagai salah satu faktor paling penting di sebalik jenayah hidupan liar. Operasi ini menyasarkan pegawai kastam yang korup dan ahli rangkaian pemerdagangan hidupan liar antarabangsa yang lain dengan kerjasama Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat di Thailand,” katanya.

Menurut WJC, operasi ini juga mempamerkan kerjasama antarabangsa yang penting untuk menghapuskan segelintir pihak dalam sektor swasta dan awam terbabit dalam amalan rasuah yang memudahkan jenayah ini. Tambah kenyataan itu, WJC mengiktiraf dedikasi SPRM untuk membanteras kegiatan rasuah dan respons balas mereka yang pantas terhadap maklumat risikan yang diterima berhubung kes itu.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan empat individu hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur, Jumaat minggu lalu.

Menerusi serbuan itu, SPRM turut merampas hampir dua tan sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Setakat in, sembilan individu dilaporkan ditahan berkait kes itu termasuk satu tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan awal 40-an, kelmarin. SPRM turut memaklumkan sudah mengenal pasti pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling ini namun tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut.

Loading...
Terkini