comscore
Tumpuan :
Nasional

Singapura arah produk Bak Kut Teh Malaysia ditarik dari pasaran

Contoh produk Bak Kut Teh yang diarah ditarik balik jualan di Singapura oleh Agensi Makanan Singapura, SFA. – FOTO: Ihsan CNA/SFA.

JOHOR BAHRU: Agensi Makanan Singapura (SFA) telah menggantung dan mengarah penarikan semula jualan satu lagi produk makanan dari Malaysia membabitkan Bak Kut Teh segera dengan nasi.

SFA dalam kenyataan yang dimuatnaik melalui akaun Facebook berkata produk berkenaan membabitkan Samy Bak Kut Teh (kering dan sup) diimport dari sumber yang tidak diiktiraf dari Malaysia.

Sehubungan itu, SFA telah mengarahkan pengimport produk Bak Kut Teh segera itu untuk menarik semula penjualan produk berkenaan di pasaran republik itu.

“Produk ini mengandungi lebih daripada lima peratus daging babi. Daging dan produk daging yang mengandungi lebih daripada lima peratus daging hanya boleh diimport dari sumber yang diiktiraf sahaja.”

Menurut kenyataan itu lagi, setiap import produk makanan di republik itu mesti mematuhi garis panduan ditetapkan SFA.

Makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen, dengan setiap konsainan mesti diisytiharkan secara jelas dan disertakan dengan permit import yang sah.

Apatah lagi jika produk itu membabitkan daging dan produk daging, ia hanya boleh diimport dari sumber bertauliah di negara yang diluluskan sekali gus mematuhi piawaian dan keperluan keselamatan makanan penduduk Singapura.

Mengulas lanjut, SFA berkata produk makanan yang diimport secara haram dari sumber yang tidak diketahui dan tidak diluluskan menimbulkan risiko kepada pengguna.

“Pengguna yang telah membeli produk Bak Kut Teh segera itu diminta tidak memakannya, manakala mereka yang telah makan produk itu dan berasa tidak sihat, perlu mendapatkan rawatan perubatan segera,” katanya.

Semalam, SFA dilaporkan menasihatkan pengguna supaya tidak membeli atau memakan sejenis gula-gula dari Malaysia yang didapati telah dicampur dengan tadalafil, ubat mujarab yang digunakan untuk merawat disfungsi erektil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini