comscore
Tumpuan :
Nasional

Siti Nurul Masyitah perlu lalui proses pemulihan, tidak sertai Kejohanan Dunia Perahu Naga 2024

ISKANDAR PUTERI: Peluang atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias beraksi di Kejohanan Dunia Perahu Naga 2024 di Filipina, 30 Oktober depan sudah tertutup.

Di peringkat ini, beliau dinasihatkan supaya menjalani proses pemulihan ke atas kecederaan teruk yang dialaminya akibat kemalangan pada Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim selepas beliau melawat Siti Nurul Masyitah di
sebuah hospital swasta di sini hari ini.

“Apabila berlaku kemalangan sebegini, dia akan terlepas beraksi pada kejohanan itu dan kita akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mentalnya,” kata Adam Adli.

Adam Adli turut mengesahkan dalam kejadian itu, Siti Nurul Masyitah sedang dalam perjalanan ke pusat latihan kayak di Bakar Batu, Johor Bahru sebagai persediaan ke Kejohanan Dunia Perahu Naga 2024.

Jelas Adam Adli, ia juga merupakan kejohanan dunia yang pertama cuba disertai Siti Nurul Masyitah.

Adam Adli memaklumkan selain membiayai kos rawatan kulit, Kementerian Belia dan Sukan juga akan memberikan bantuan sewajarnya bagi proses pemulihan fizikal dan mental termasuk sesi fisioterapi di Institut Sukan Negara kepada Siti Nurul Masyitah.

Tambah Adam Adli, meskipun dalam kecederaan, Siti Nurul Masyitah, pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang meminta untuk menduduki dua lagi peperiksan semester akhir.

Siti Nurul Masyitah mengalami kecederaan teruk selepas dirempuh dan diseret kereta dipandu pemandu mabuk sejauh 100 meter di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL) Johor Bahru, Sabtu lalu.

Susulan kemalangan itu, atlet berkenaan telah menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahu kanan Isnin lalu.

Siti Nurul Masyitah merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 melalui acara berkayak perahu naga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini