comscore
Tumpuan :
Nasional

Skandal 1MDB: Roger Ng saman bekas bos Goldman, Leissner AS$130 juta

Roger Ng keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas didapati bersalah kerana membantu menyeleweng dana kekayaan negara 1MDB Malaysia, di Brooklyn, New York pada 8 April 2022. – Foto REUTERS

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs yang disabitkan bersalah kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Roger Ng, semalam menyaman saksi utama pendakwaan yang juga bekas majikannya, Tim Leissner.

Beliau mendakwa Leissner terbabit dalam penipuan berjumlah lebih AS$130 juta (RM611juta).

Dalam aduan yang difailkan di mahkamah New York di Manhattan, Ng menuduh bekas bosnya berulang kali berbohong untuk mencuri pelaburannya bersama pengeluar minuman tenaga, Celsius Holdings dan syarikat kecerdasan buatan, Sentient Technologies.

Leissner turut memberitahu, bekas rakan kongsi Goldman mencuri wang milik Ng untuk menampung kos pembelaan dalam kes jenayah berkaitan dengan dia mengaku bersalah pada 2018, malah turut merampas wangnya untuk membela diri dan merayu bagi sabitan kesalahannya.

“Ng berada dalam kedudukan yang tidak dapat dibayangkan kerana terpaksa mempertahankan diri terhadap dakwaan yang dibuat oleh orang yang menipunya dan mencuri wang yang perlu dipertahankan oleh plaintif Ng terhadap dakwaan yang sama,” kata aduan itu.

Dalam pada itu, setakat ini, peguam Leissner ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut berhubung isu itu.

Ng yang juga bekas ketua perbankan pelaburan untuk Goldman Sachs Malaysia, berkata Leissner menggelapkan termasuk pegangannya berjumlah AS$1.25 juta (RM5.9 juta) dari syarikat Celsius yang kini bernilai lebih daripada AS$130 juta (RM611juta), termasuk AS$1 juta (RM4 juta) bertujuan membeli separuh daripada pelaburan Leissner dalam Sentient.

Jelasnya, sehingga Mei 2021, apabila Leissner dan isterinya yang juga model dan usahawan Kimora Lee Simmons, disaman oleh bekas suami wanita itu, eksekutif rekod, Russell Simmons, barulah dia mengetahui Leissner telah mengalihkan pelaburan dalam Celsius.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM13 bilion) dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, ia sekali gus menyelesaikan siasatan terhadap rompakan berbilion dolar daripada 1MDB dan pemberian rasuah bagi tujuan perniagaan dengan bank Wall Street.

Juri persekutuan di Brooklyn pada April mensabitkan Ng kerana kesalahan bersubahat dan melanggar undang-undang antirasuah serta terbabit dalam pengubahan wang haram. – REUTERS

Loading...
Terkini