comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sorok 100kg daun ketum di madrasah tahfiz  

 

KOTA BHARU: Empat lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan memproses, menjual dan menyimpan daun ketum dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah dan madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata pada serbuan pertama anggota bertugas menahan kesemua suspek berusia 21 sehingga 29 tahun, termasuk merampas sebahagian daun serta air ketum dan pil kuda di Jalan Tali Air, Kampung But, Ketereh, di sini.

Katanya, berpandukan arah daripada suspek, dalam masa 15 minit kemudian, anggota turut menemukan 100kg daun ketum lagi yang disembunyikan di sebuah madrasah Tahfiz Batu 11, juga di kawasan Ketereh.

FOTO: ihsan polis

“Polis turut merampas dua tong gas, periuk dan dapur gas dipercayai digunakan untuk menghasilkan air ketum.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

FOTO: ihsan polis

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 22 Julai untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Loading...
Terkini