comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok dadah dalam kandang lembu, modus operandi kelirukan pihak berkuasa

Oleh Kumaran Rajamoney

BALING: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Baling dan daerah sekitar, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, penahanan dilakukan hasil serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah kandang lembu di Kampung Thye Seng, Kuala Ketil sekitar jam 6 petang.

Penahanan dilakukan selepas polis menjumpai sebuah tong plastik yang didalamnya terdapat bungkusan beg plastik berwarna hitam mengandungi bahan dipercayai dadah.

“Kita menjumpai paket plastik lutsinar pelbagai saiz di dalam beg plastik hitam itu, dipercayai berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 3000 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 250 gram.”

“Siasatan kemudiannya mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), hari ini.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM65,200 ini mampu menampung penggunaan seramai 16,012 orang pengguna.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamin, dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari bermula 3 hingga 7 Febuari ini.

Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Loading...
Terkini