comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM kaji semula kes seleweng wang zakat MAINS

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengkaji semula kes penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Perkara itu disahkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim.

Hishamuddin berkata, kajian semula kes berkenaan untuk melihat keterangan-keterangan yang ada.

“Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata, kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan MAINS telah dibuka dan disiasat pada tahun 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.

Khamis lalu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan suruhanjaya tersebut berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan MAINS Zakat Sdn Bhd sejak 2019 tidak menemukan sebarang kesalahan rasuah.

Awgkok Ahmad Taufik Putra menjelaskan, siasatan itu juga sudah pun selesai pada tahun sama dan SPRM tidak menemukan sebarang unsur jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Kelmarin, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau, Shukri Shamsudin meminta SPRM lebih telus dalam menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Shukri berkata, ia disebabkan kenyataan mengelirukan daripada pihak SPRM serta menggambarkan seolah-olah suruhanjaya berkenaan mengambil mudah isu tersebut, sedangkan ia membabitkan wang zakat yang begitu besar jumlahnya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof turut memberitahu kes terbabit masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Pada masa sama, MAINS menafikan tohmahan dan menyifatkan ia adalah fitnah yang disebar melalui media sosial.

Isu penyelewengan dan pecah amanah di MAINS tular di media sosial yang turut mengaitkan beberapa pegawai MAINS yang terbabit dalam kutipan zakat jutaan ringgit.

Loading...
Terkini