comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tingkatkan kaedah siasatan jenayah kewangan 

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkatkan kaedah penyiasatan yang berbentuk jenayah kewangan atau ‘Financial Crime’ dalam menyiasat kes-kes skala besar dan berkepentingan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perubahan kaedah penyiasatan kepada ‘intelligence base investigation’ membuahkan hasil yang mana tidak lagi bersandarkan kepada kaedah reaktif semata-mata.

Pegawai dan Anggota SPRM bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sambutan ulang tahun SPRM ke-56 di Putrajaya, semalam. -Foto: Ihsan SPRM

Justeru, pegawai-pegawai SPRM jelas beliau, perlu memahami undang-undang jenayah dan juga kaedah penyiasatan yang lebih bersistematik.

“Untuk itu, saya mengarahkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Siasatan dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) berganding bahu melatih pegawai SPRM dengan kaedah baharu ini, tanpa melupakan kaedah lama yang masih relevan,” ujarnya.

Tegasnya, strategi SPRM adalah mengurangkan ketirisan di tiga sektor rasuah iaitu rasuah di sektor penguatkuasaan, perolehan dan ‘grand corruption’.

”Penjenayah-penjenayah yang mencuri atau menghilangkan hasil kerajaan, mereka yang ada kuasa menyalahgunakan kuasa perlu dihukum sehinggakan mereka dibangkrapkan supaya harta negara dikembalikan.” katanya.

SPRM merekodkan prestasi memberangsangkan dengan tindakan proaktif dengan 776 Kertas Siasatan (KS) dibuka dan 869 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Sebanyak 326 pertuduhan bagi pelbagai kesalahan dipertuduhkan di mahkamah.

“Statistik pelucuthakan dan pemulihan aset menunjukkan rekod sangat cemerlang pada tahun ini dengan nilai pelucuthakan harta sebanyak RM12,891,268.66 dan kompaun berjumlah RM4,003,000.

“Jika dikira sejak 2018 hingga sekarang, jumlah keseluruhan pelucuthakan harta dan penalti yang direkodkan SPRM berjumlah lebih RM29 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-56, semalam.

Loading...
Terkini