comscore
Tumpuan :
Nasional

SSM jangka lebih banyak syarikat guna kerangka rehabilitasi korporat baharu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjangkakan lebih banyak syarikat akan menggunakan kerangka rehabilitasi korporat baharu diperkenalkan oleh Akta Syarikat (Pindaan) 2024, yang berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Pengarah SSM (bahagian pematuhan korporat), Norhaiza Jemon berkata, akta baharu itu akan dapat membantu syarikat yang berdepan masalah kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi dan daya saing.

“Kerangka rehabilitasi baharu itu amat ditunggu-tunggu oleh syarikat yang menghadapi masalah kewangan. Dengan pindaan baharu itu, kami menjangkakan mereka akan dapat menangani isu yang dihadapi mereka dengan lebih baik lagi,” katanya semasa taklimat Pencerapan SSM: Akta Syarikat (Pindaan) 2024, di sini, hari ini.

Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mempunyai 31 klausa dan empat kluster dasar.

Kluster dasar pertama adalah meluaskan penggunaan mekanisme penyelamatan korporat di bawah Pengaturan Sukarela Korporat (CVA) dan Pengurusan Kehakiman (JM), manakala yang kedua ialah mengukuhkan rangka kerja pemulihan korporat melalui penambahbaikan peruntukan yang berkaitan dengan skim penyusunan atau kompromi, serta sebagai penambahbaikan peruntukan mengenai CVA dan JM.

Kluster ketiga adalah mengukuhkan rangka kerja pelaporan pemunyaan benefisial (BO) dan kluster terakhir memfokuskan kepada mempertingkat tadbir urus dan amalan korporat.

Pengarah SSM (bahagian pematuhan korporat), Norhaiza Jemon

Mengulas lanjut mengenai kluster ketiga, Norhaiza berkata obligasi baharu yang dikenakan ke atas BO adalah individu wajib memaklumkan kepada syarikat beliau adalah pemilik benefisial dan membuat perkara yang sama apabila beliau tidak lagi menjadi pemilik benefisial.

“Syarikat dikehendaki untuk menyerahkan maklumat BO dalam tempoh tiga bulan akan datang, sehingga Jun, dan itu akan menjadi kesan segera daripada cadangan berkenaan untuk meningkatkan rangka kerja BO,” katanya, sambil menambah bahawa lebih 600,000 syarikat aktif perlu mematuhi akta baharu itu.

“Penambahbaikan kerangka pelaporan BO dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang diisytiharkan baru-baru ini mencerminkan dedikasi tidak berbelah bagi SSM untuk memodenkan rangka kerja kawal selia, meningkatkan piawaian tadbir urus korporat, dan menggalakkan amalan perniagaan mampan yang merangsang inovasi, daya saing serta keyakinan pelabur.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini