comscore
Tumpuan :
Nasional

Steven Sim tunai janji dilafaz tiga tahun lalu

Foto: Steven Sim/Facebook

KUALA LUMPUR: Meskipun tiada pertalian darah, janji yang dibisikkan ke telinga seorang pesakit tiga tahun lalu, berjaya ditunaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Lebih membanggakan Steven Sim apabila anak kepada pesakit itu yang kemudian dijadikannya anak angkat telah berjaya ke Menara Gading.

Melalui ciapan dalam Facebooknya, Steven Sim mendedahkan bahawa tiga tahun lalu beliau pernah berjanji kepada ayah Puteri Balqis (kini arwah) untuk menjaga anaknya seperti anak sendiri.

“Hari ini saya gembira sangat dapat gambar anak angkat saya Puteri Balqis dekat UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Abang Rano, Puteri Balqis dah masuk universiti, selangkah lebih dekat nak jadi doktor,” katanya.

Menurut Steven Sim, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, Puteri Balqis mendapat 8A.

Katanya, beliau mula mengambil Puteri Balqis sebagai anak angkat ketika anak rakannya itu berada di Tingkatan Empat.

Dan sejak itu beliau mula memberikan Puteri Balqis duit elaun bulanan.

Ini termasuk membelikannya komputer riba ketika tempoh pandemik COVID-19.

Foto: Steven Sim/Facebook

Menurut Steven Sim, beliau gembira apabila melihat foto Puteri Balqis menggunakan IPad yang dibelikannya sebelum anak angkatnya itu ke UIA.

“Warna pink tu dia yang pilih sendiri. Abang Rano, Puteri Balqis sudah berjaya ke Menara Gading. Hajar (ibu Puteri Balqis) pun kini bahagia. Bertenanglah mu di sana,” katanya.

Mengikut laporan media, Steven Sim mempunyai sekitar 70 orang anak angkat daripada pelbagai kaum.

Loading...
Terkini