comscore
Tumpuan :
Nasional

Sembilan lagi pegawai muda alami simptom strok haba stabil

Foto hiasan

Oleh: Zahir Senapiah 

JOHOR BAHRU: Sembilan lagi pegawai muda yang sedang dirawat di hospital selepas mengalami simptom strok haba ketika menjalani kursus tempur di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dekat sini, berada dalam keadaan stabil.

EXCO Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata, kejadian membabitkan 10 pegawai muda dengan tiga daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) dan tujuh lagi ke Hospital Kota Tinggi (HKT), untuk rawatan lanjut.

Namun katanya, seorang yang dirawat di ICU HSI meninggal dunia jam 11.10 malam pada Sabtu.

“Dua lagi sudah tidak memerlukan alat bantuan pernafasan dan semakin stabil,” katanya.

Tujuh lagi masih dirawat di HKT dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kelmarin, seorang Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kerana mempunyai simptom strok haba.

Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia di HSI Johor Bahru semalam.

Allahyarham antara 10 anggota dan pegawai yang mengalami simptom strok haba ketika menjalani latihan di Kem PULADA Kota Tinggi, kelmarin.

Difahamkan, Allahyarham pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat di kem berkenaan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini