comscore
Tumpuan :
Nasional

“Suami tidak benarkan arwah ke rumah ibu” – Adik mangsa

KUALA LUMPUR: Wanita yang maut dipercayai akibat didera suaminya di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Kajang, Ahad lalu dikatakan tidak pernah bercerita mengenai rumah tangganya kepada keluarga.

Adik mangsa, Azmir Alias, 37, memberitahu kali terakhir keluarganya bertemu dengan kakaknya, Azween Noor, 38, adalah pada Aidilfitri lalu dan arwah tidak bercerita yang dia didera.

“Arwah memang seorang yang pendiam, dia bercakap apabila perlu sahaja, dia tidak pernah bercerita soal rumah tangganya.

“Ada dia beritahu mengenai suaminya yang kerap kerja di luar kawasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Azmir, keluarga juga tidak pernah bertemu dengan suaminya (suspek) sejak arwah melangsungkan perkahwinan enam tahun lalu.

“Suaminya tidak membenarkan arwah ke rumah ibu, kami juga pelik dengan sikap lelaki itu.

“Pernah satu ketika ibu ke rumah arwah, namun dihalau lelaki terbabit menyebabkan sehingga kini ibu tidak pergi ke rumah arwah,” ujarnya lagi.

Katanya, arwah meninggalkan dua cahaya mata berusia enam dan tiga tahun yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami sekeluarga ingin membuat permohonan untuk menjaga kedua-dua anak arwah,” katanya.

Semalam, polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed, 32, yang beralamat terakhir di Apartment Sutera Pines, Jalan Sutera Pines, Sungai Long, Kajang.

Lelaki terbabit dipercayai suspek dalam kejadian mendera isterinya sehingga mati, sebelum dihantar ke hospital.

Mangsa dihantar suaminya ke pusat perubatan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Selepas mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, suspek menghilangkan diri.

Artikel berkaitan : ‘Datuk’ dipercayai suspek utama kes pembunuhan isteri dikehendaki polis

Loading...
Terkini